Saifudin Nasution Ismail
Saifudin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan Pakatan Rakyat (PR) masih wujud di Selangor dibidas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Saifuddin dengan tegas berkata di Selangor tiada lagi PR selepas gabungan itu yang turut disertai Pas berpecah pada tahun 2015 dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

“Tiada pakatan lain kecuali PH,” kata Saifuddin yang dipetik dalam laman portal hari ini.

Jelasnya,  PR sebelum ini diberikan mandat oleh rakyat untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan tidak munasabah jika PR mengatakan masih wujud apabila ada satu parti dalam gabungan itu dahulu kini dilihat mesra UMNO dan BN.

“Anda (merujuk kepada Azmin) terus mengatakan bahawa menjalankan mandat rakyat dari Selangor yang diberikan pada pilihan raya umum 2013 tetapi rakyat memberi mandat kepada PR untuk bertanding BN.

“Apabila ada satu parti dalam PR yang kini lebih mesra kepada BN, maka tidak ada sebab meneruskan PR,” katanya.

Saifuddin juga berkata sudah tidak menjadi rahsia lagi apabila Pas kini sudah mengubah pendekatannya dengan UMNO.

“Ia adalah suatu rahsia terbuka bahawa parti itu (Pas mengubah pendekatannya (terhadap UMNO),” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa PR masih wujud bersama dengan PH di negeri tersebut.

Walaupun DAP dan Pas telah memutuskan hubungan antara satu sama lain pada bulan Julai 2015 yang menjurus kepada pembubaran PR, PKR dan Pas masih mengekalkan hubungannya di Selangor dalam kepimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette