Iklan hari raya TNB berjudul Dugaan Raya Aida mencipta sejarah apabila mencatatkan rekod sebanyak 11 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram pada 14 Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Google Malaysia menyiarkan senarai 10 iklan YouTube paling popular bagi Januari hingga Jun 2017 berdasarkan jumlah tontonan, populariti serta promosi.

Google Malaysia dalam satu kenyataan berkata, antara iklan paling popular itu ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kentucky Fried Chicken (KFC) Malaysia, Samsung Malaysia, MyEG dan McDonalds.

Menurutnya, iklan Hari Raya TNB menduduki tempat pertama dengan tontonan seramai 1.9 juta, diikuti iklan promosi KFC (1.3 juta tontonan) dan iklan perkhidmatan Samsung Malaysia (768,845 tontonan).

“Iklan-iklan ini menunjukkan bahawa wujudnya kreativiti yang mengujakan dalam industri pengiklanan di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, iklan Hari Raya TNB berjudul Dugaan Raya Aida mencipta sejarah apabila mencatatkan rekod sebanyak 11 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram pada 14 Jun lalu. – MalaysiaGazette