Antoine Griezmann

UNITED KINGDOM РPenyerang Antoine Griezmann memberi gambaran dia tidak gembira dengan kontrak baharu yang ditandatanganinya bersama Atletico Madrid.

Bercakap kepada FourFourTwo, pemain Perancis itu mendedahkan dia tiada pilihan lain untuk terus kekal di kelab itu.

“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada saya akan berada di sini musim depan dan selepas itu kita akan lihat. Tidak masuk akal untuk bercakap tentang sesuatu yang lebih¬†daripada satu tahun lagi.

“Saya kekal disini terutamanya kerana hukuman (larangan perpindahan yang dikenakan Atletico) itu. Atletico memerlukan saya lebih dari sebelumnya.

“Ia akan menjadi teruk jika saya pergi. Saya tidak akan menjadi seperti diri saya sekarang ini jika saya meninggalkan kelab dengan cara demikian,” katanya.

Bulan lalu, Griezmann dilaporkan telah menyambung kontraknya bersama Atletico sekaligus menamatkan spekulasi perpindahan ke Manchester United.

Griezmann sekali lagi menjadi perhatian di kelabnya itu apabila berjaya merekodkan sebanyak 26 gol dalam semua perlawanan musim lalu.

Sebelum ini dikhabarkan United cuba memancing pemain antarabangsa Perancis itu, namun ianya sudah terjawab apabila Griezmann kekal bersama Atletico untuk tempoh lima tahun lagi.

Tambahan pula, perpindahan pemain tidak mungkin berlaku buat masa ini memandangkan Atletico Madrid digantung daripada berbuat demikian.

Dengan kontrak baharu ini menyaksikan Griezmann bakal menerima gaji sebanyak 235,000 pound (RM 1,269,181) seminggu, dan yang tertinggi di kelabnya.

Griezmann kini berada sebaris dengan pemain-pemain lain dalam La Liga yang menerima gaji tinggi seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar. – MalaysiaGazette