NEW DELHI – Seorang lelaki warganegara India cuba membuka pintu kecemasan pesawat AirAsia ketika berada di tengah udara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AirAsia, kejadian itu juga menyebabkan beberapa penumpang dan krew penerbangan tercedera semasa cuba menghalang lelaki berkenaan membuka pintu kecemasan ketika pesawat sedang bersedia untuk mendarat.

Disebabkan insiden berkenaan, Aftab Ahmed, 32, telah ditahan dan diserahkan kepada pihak keselamatan lapangan terbang di bandar Ranchi, lewat hari Isnin yang lalu.

“AirAsia ingin mengesahkan sebuah pesawat yang sedang berada di udara dari New Delhi ke Ranchi pada 10 Julai lalu telah menghadapi satu kejadian yang tidak disangka-sangka oleh seorang penumpang.

“Selepas mendarat di Ranchi, penumpang berkenaan telah diserahkan kepada Pasukan Keselamatan India Pusat untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, para pegawai tidak mahu memberi komen mengenai status penumpang berkenaan serta motif kejadian.

Kejadian berkenaan berlaku selepas dua bulan India mengumumkan rancangan untuk membuat senarai warganegaranya yang tidak dibenarkan terbang.

Ini berikutan beberapa kes yang melibatkan ahli politik yang telah mencederakan krew penerbangan. – MalaysiaGazette