Pemilik dan Peniaga kedai batu 7 membuat demonstrasi terhadap kerajaan negeri Selangor berkaitan perobohan kedai dan kediaman penduduk itu berikutan projek penswastaan Lebuhraya Lembah Klang (EKVE) di Ukay Perdana, Hulu Klang. foto AFFAN FAUZI 12 JULAI 2017

GOMBAK – Kerajaan negeri Selangor dan Pejabat Tanah Daerah Gombak diberi tempoh tujuh hari untuk membalas tuntutan tempat ganti kepada lebih 37 peniaga berhampiran Taman Al-Ridhuan di Ukay Perdana, Hulu Kelang yang diarahkan mengosongkan kawasan tersebut sebelum 31 Julai ini.

Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan memastikan kedua-dua pihak diheret ke mahkamah.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO 1Malaysia (GN1M), Mohd Nazlee Tan Sri Sir Aziz Yeop dan peguam para peniaga terbabit, Kamarudin Ahmad menuntut kerajaan Selangor pentadbiran PKR supaya lebih berperikemanusiaan dan tidak menindas peniaga Melayu yang sudah berniaga lebih 20 tahun di kawasan tersebut.

Kata Mohd Nazlee, tindakan Pejabat Tanah mengeluarkan notis arahan mengosongkan premis sebelum 31 Julai tanpa sebarang ganti rugi atau pampasan adalah tidak adil dan melampau.

“Pada Ogos 2016 saya telah menulis surat kepada Pejabat Tanah dan Daerah Gombak untuk mempertimbangkan perkara ini dan tampil untuk mengadakan perbicangan untuk mencari penyelesaian terbaik, malangnya sehingga hari ini surat saya tidak dilayan dan dijawab.

“Bertindaklah secara profesional, tampil, bincang dengan kami dan peniaga untuk mencari penyelesaian secara baik, jangan main kotor mengeluarkan notis dengan tempoh singkat hendak meroboh gerai.

“Kami ada surat bekas Exco BN negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar iaitu Alllahyarham Datuk Fuad Hassan yang telah mengendalikan isu itu dengan mendapatkan persetujuan Pejabat Tanah Daerah Gombak untuk memindahkan peniaga ini ke kawasan plot 5,” katanya kepada pemberita di sini.

Antara kedai-kedai yang akan dirobohkan oleh kerajaan negeri Selangor berikutan projek penswastaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Ukay Perdana, Hulu Kelang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2017

Malah katanya, peniaga tidak akan pindah selagi tiada respon untuk memindahkan mereka ke kawasan plot 5 yang dijanjikan.

“Kami bukan menentang (Datuk Seri) Azmin Ali (Menteri Besar Selangor) atau pembangunan pelebaran jalan untuk Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) sejauh 39 kilometer itu, tetapi sila membela kebajikan peniaga,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, kerajaan negeri dan pejabat tanah perlu menyemak dan mencari kawasan yang dikenali sebagai plot 5 yang dijanjikan sebelum ini.

“Kerajaan negeri perlu cari segera plot 5 yang dijanjikan itu dan menempatkan 37 peniaga ini yang lama tunggu ke kawasan itu. Jika tidak pun sekurang-kurangnya berikan pampasan yang setimpal dan peniaga sedia berbincang mengenai jumlah tuntutan itu.

“Ini mesej penting kami kepada kerajaan negeri dan pejabat tanah, jika tidak respon dalam tempoh tujuh hari dari sekarang, kami tidak takut untuk membawa kes ini ke mahkamah.

“Kami mempunyai segala dokumen kukuh yang menyokong kami untuk memfailkan kes di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu peniaga, restoran dan cuci kereta pula mendakwa, sejak notis dikeluarkan mereka kehilangan pelanggan menyebabkan perniagaan terjejas teruk.

Nor Cahaya Ismail bercakap pada sidang media selepas membuat demonstrasi terhadap kerajaan negeri Selangor berkaitan perobohan kedai dan kediaman penduduk berikutan projek penswastaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Ukay Perdana, Hulu Klang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2017

“Janganlah aniayai kami, kami bukan pendatang asing tanpa izin tetapi anak Melayu yang membesar dan berniaga di sini lebih 22 tahun.

“Tolong berikan tempat ganti yang baik dan jangan robohkan sebelum menyediakan lokasi perniagaan yang pernah dijanjikan sebelum ini,” kata Nor Cahaya Ismail, 52 di sini.

Peniaga produk kecantikan, Nor Shuhadah Mohamed Salim,30, berkata, mereka menerima notis pengosongan permis tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang mengejutkan semua 37 peniaga di situ.

“Sejek notis itu diterima, sudah tiga hingga empat premis di sini menutup kedai dan punca pencarian mereka menjadi tanda soal,” katanya. – MalaysiaGazette