Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Kelulusan hukuman sebat pesalah syariah di khalayak ramai oleh kerajaan Kelantan tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara ini, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, pelancong luar negara masih mempunyai pelbagai pilihan lokasi melancong selain negeri itu sekiranya mereka tidak menyokong peraturan berkenaan.

“Kita tak paksa pelancong pergi ke Kelantan, kalau takut pelaksanaan hukum Islam itu boleh menjejaskan pelancong saya rasa itu tak betul.

“Ia tak akan jejaskan sektor kami, pelancong kalau bimbang sangat bolehlah ke tempat lain lebih menarik di Sabah, sarawak, Pulau Pinang, Langkawi, Selangor dan sebagainya.

“Warga Singapura dan China tidak berhenti melawat ke negara ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas kenyataan bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin kononnya hukuman sebat menjadi produk tarikan baharu pelancongan di Kelantan, Mohamed Nazri berkata, dakwaan itu gila dan tidak masuk akal.

“Saya tidak perlu cakap lebih pasal isu itu, lagi pun Kelantan bukan salah satu negeri yang paling dikunjungi pelancong, orang banyak pergi ke Pahang, Penang, Langkawi dan negeri lain.

“Sekiranya mereka (Kelantan) hendak menjadikan negeri itu tidak menarik, itu bukan masalah saya, ia tidak akan jejaskan pelancongan negara sebab Kelantan bukan tempat orang ramai datang melawat pun,” tegasnya lagi.

Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membenarkan pesalah Syariah di negeri berkenaan disebat dalam khalayak ramai.- MalaysiaGazette