Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Atlet Wushu Negara, Gjeblehim Bong Teck Fuu, Diana Bong Siong Lin, Aggie Cheah Ruey Shin dan Khaw Jun Lim (dari kiri) menunjukkan aplikasi Kuala Lumpur 2017 pada Majlis Pelancaran Digital @ KL2017 sempena temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kehangatan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semakin dirasai.

Hari ini platform digital KL2017 serta iklan rasmi bagi temasya tersebut oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017 dilancarkan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, iklan rasmi KL2017 bakal menyuntik semangat kesukanan dengan mesej iaitu It takes a nation to raise a champion.

Jelas beliau, selain semangat kesukanan, iklan itu juga membawa mesej perpaduan, kebersamaan dan perjuangan yang tinggi.

“Ia juga memaparkan sebuah perjalanan yang menuntut pengorbanan dan sokongan daripada banyak pihak demi melahirkan seorang juara

“Saya berharap iklan rasmi KL2017 ini akan menjadi inspirasi pembakar semangat kepada orang ramai khususnya rakyat Malaysia dan para atlet muda untuk terus berjuang tanpa mengenal jemu sebelum dapat meraih sebuah kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan platform digital dan iklan rasmi KL2017 itu pada majlis Digital@KL2017 yang berlangsung di Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Low Beng Choo; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong; Ketua Pegawai Operasi Sekretariat MASOC, Shaiful Subhan Zahrin dan Naib Presiden Jenama & Komunikasi Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Izlyn Ramli.

Khairy menambah, iklan rasmi yang diterbitkan khas oleh MASOC itu diarah oleh Quek Shio Chuan.

Katanya, Shio Chuan merupakan pengarah muda yang banyak menghasilkan karya menarik daripada iklan korporat kepada muzik video selebriti terkenal negara.

Ujarnya, beberapa hasil karya beliau turut mendapat pengiktirafan daripada festival filem tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, iklan rasmi KL2017 itu boleh ditonton melalui platform digital iaitu di aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun di platform iOS dan android dengan nama KL2017 Games dan juga saluran rasmi YouTube KL2017 di akaun Kuala Lumpur 2017 Official Channel.

Jelasnya, platform itu akan menempatkan sejumlah 15 saluran di mana dua daripadanya merupakan siaran langsung untuk acara Sukan SEA yang terpilih dan 13 saluran lain adalah untuk video on demand di YouTube.

“Platform digital ini juga akan menjadi medium untuk orang ramai mengikuti perkembangan terkini KL2017, menonton perlawanan secara langsung sewaktu temasya dan juga mengikuti maklumat seperti jadual perlawanan, keputusan dan sebagainya.

“Dengan pelancaran aplikasi telefon dan saluran YouTube KL2017 hari ini, MASOC mensasarkan untuk memberikan ketercapaian yang lebih tinggi kepada peminat sukan serantau bukan sahaja melalui televisyen, malah secara digital yang boleh diakses di mana sahaja pada setiap masa.

“Saluran YouTube KL2017 dimiliki bersama dan dikuasakan oleh Telekom Malaysia ™ iaitu Penaja Platinum KL2017. TM akan membantu di dalam menawarkan pengisian bagi saluran tersebut melalui cerita inspirasi atlet dan rakyat Malaysia.

“Team Malaysia iaitu Penyokong Rasmi Atlet Negara juga akan mempromosikan Kuala Lumpur 2017 Official Channel kepada 1.2 juta pengikut mereka di media sosial.

“MASOC akan sentiasa berusaha untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada semua peminat sukan dan rakyat di rantau ini semasa KL2017 berlangsung.

“Peminat sukan hari ini terutamanya golongan belia dan remaja rata-rata amat celik IT dan mereka mahu mendapat infomasi segera dengan lebih mudah dan pantas untuk mengetahui perkembangan terkini atlet kegemaran, keputusan sesuatu perlawanan atau jumlah kutipan pingat dan sebagainya,” katanya.

Kata Khairy, ,elalui aplikasi yang kita lancar hari ini, semua informasi KL2017 kini boleh didapati di hujung jari sahaja.

Sementara itu, persiapan KL2017 kini sudah memasuki fasa terakhir dengan berbaki 36 hari sebelum termasya dibuka secara rasminya.

KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN. – MalaysiaGazette