Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dilantik menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Pelantikan ini adalah amat signifikan kepada pengukuhan Pakatan Harapan serta memberi hala tuju, fokus dan kepimpinan dalam muafakat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke 14.

“Saya percaya perkembangan ini akan menamatkan spekulasi dan persoalan tentang perpaduan dan muafakat Pakatan Harapan dalam mendepani pilihan raya dan melaksanakan aspirasi rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk keputusan PH malam tadi mengumumkan struktur kepimpinan PH termasuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Umum dan Presiden PH.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR juga dilantik sebagai Naib Presiden PH.

Justeru, Mohamed Azmin yakin dan mengikrarkan sokongan serta komitmen kepada kepimpinan Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya.

Bagaimanapun dalam kenyataan yang sama Mohamed Azmin tidak mengucapkan tahniah kepada Anwar dan Wan Azizah yang juga bosnya dalam parti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast