Husam Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Husam Musa mendakwa tidak pernah melihat terma perjanjian yang dianggapnya pelik antara kerajaan Kelantan dan Cimate Protectors.

Menurutnya, klausa yang terdapat di dalam perjanjian menetapkan perjanjian itu tetap berjalan walaupun kerajaan negeri bertukar kerajaan.

Dalam perjanjian itu, Husam mendakwa tertulis ‘This Agreement is binding regardless of any political change in the ruling party in the State of Kelantan.”

“Saya difahamkan, begitu bunyinya klausa 24(f) dalam perjanjian antara Kerajaan Kelantan dan Climate Protectors untuk perdagangan karbon sejuta ekar hutan Kelantan.

“Apa pun perubahan kerajaan dan parti mana pun yang memerintah Kelantan, perjanjian dengan Climate Protectors tidak boleh diubah.

 

“Gambaran sekilas saya ialah, adakah pimpinan Kerajaan Kelantan sekarang telah mengagak mereka akan kalah?

“Kerajaan akan tumbang dan kerajaan baru akan terbentuk?

Mereka mahu mempastikan apa yang telah mereka susun tidak boleh digugat? Apa tujuan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara Kelantan itu, kerajaan Pas mungkin tumbang tetapi kepentingan kelulusan sejuta ekar mesti diteruskan untuk 30 tahun, ditambah 30 tahun secara automatik menjadi 60 tahun.

“Mungkinkah bagi orang politik, ini skim ‘pencen’ mereka? 45 peratus untung bersih bahagian syarikat adalah meliputi ‘pencen’ orang politik?” dakwanya lagi.

Lagi pun, katanya, sehingga ini, tiada penjelasan apa asas pembahagian untung bersih 55:45 dengan semua perbelanjaan operasi dibiayai dari hasil.

“Syarikat mendapat hampir sama bahagian dengan kerajaan. Kerajaan memberikan kawasan hutan sejuta ekar sedangkan syarikat nampaknya tidak mengeluarkan apa-apa.

Kenapa 55:45? Tidakkah ia begitu besar bagi syarikat?” soalnya. – MalaysiaGazette