Sebahagian pekerja asing di Malaysia.- gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Kekurangan pekerja asing tanpa izin pada ketika kerajaan melancarkan operasi pembanterasan besar-besaran menyebabkan permintaan terhadap pekerja berdokumen meningkat.
Keadaan itu juga menyebabkan pekerja asing yang sah menuntut kenaikan gaji harian sebanyak satu kali malahan dua kali ganda.
Presiden Master Builders Association Malaysia, Foo Chek Lee berkata, keadaan itu berlaku kerana banyak pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen memilih untuk bersembunyi atau meninggalkan tempat kerja selepas kerajaan melancarkan operasi besar-besaran.
Katanya, keadaan itu turut menyebabkan sesetengah projek di tapak pembinaan tergendala malahan terpaksa dihentikan.
Selain itu, majikan biasanya memegang pasport pekerja asing, keadaan itu menyebabkan pekerja yang sah turut ditahan semasa operasi dan menjejaskan kerja-kerja di tapak pembinaan.
“Disebabkan kebanyakan majikan bimbang akan dikenakan kompauan kerana terlambat menyiapkan projek, maka mereka juga bersedia menambah gaji pekerja asing yang sah,” katanya kepada China Press.
Chek Lee memberi contoh, gaji harian buruh kasar di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor telah mengalami kenaikan daripada RM50 kepada RM100.
Selain itu, pekerja teknikal yang mahir pula diberi kenaikan daripada RM120 sehari kepada RM320 sehari.
“Di Kuala Lumpur pula, gaji harian telah dinaikkan daripada RM120 sehari kepada RM320 sehari,” katanya.
Chek Lee juga memperbetulkan persepsi bahawa penggajian pekerja asing adalah lebih murah berbanding rakyat tempatan.
Jelasnya, selain menanggung kos gaji, majikan yang menggaji pekerja asing juga perlu membayar cukai kepala, permit dan kos penginapan yang mahal.
“Persoalannya, mana ada orang tempatan yang mahu bekerja dalam sektor pembinaan? Kami tiada pilihan tetapi perlu menggaji pekerja asing,” katanya. – MalaysiaGazette