Lambang roket DAP
PETALING JAYA – Isu pemilihan semula barisan kepimpinan DAP terus menular!
Sinchew Daily melaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah mengarahkan pemilihan semula diadakan selepas mengesyaki kemunculan 120 cawangan parti itu yang mencurigakan semasa pemilihan diadakan pada 2013.
ROS telah menghantar surat rasmi kepada DAP pada Isnin dengan menyatakan bahawa pemilihan parti yang diadakan pada 15 Disember 2012 telah dihadiri 2,576 wakil dari 865 cawangan.
Semasa pemilihan semula pada 29 September 2013 pula, jumlah cawangan telah meningkat kepada 985 buah, iaitu meningkat sebanyak 120 buah.
ROS berpendapat bahawa DAP perlu menggunakan senarai perwakilan pada 2012 ketika mengadakan pemilihan semula pada 2013.
DAP melakukan kesilapan teknikal dalam pemilihan 2012 sehingga parti itu perlu mengadakan pemilihan semula pada 2013.
Pemilihan pada 2013 pula sekali lagi berdepan masalah apabila tidak diiktiraf oleh ROS kerana menggunakan senarai perwakilan yang lain dengan 2012.
Dalam pada itu, DAP akan bermesyuarat pada Rabu untuk membincangkan surat yang diterima daripada ROS dan membuat keputusan yang sewajar mengenainya. – MalaysiaGazette