Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KULIM – Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau akan buat keputusan itu jika terdapat desakan ke arah itu apabila tiada calon yang sesuai nanti.

“Saya tak tentukan lagi, saya akan bertanding ataupun tidak, cuma dalam keadaan terdesak sahaja barulah saya akan bertanding tapi di waktu ini tak nampak terdesak,” katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya PPBM Kedah hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, desakan untuk beliau kembali bertanding agak samar kerana gabungan pembangkang masih mempunyai calon yang layak bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).

Desas desus Dr. Mahathir akan bertanding mula kedengaran sebaik sahaja penubuhan PPBM tahun lalu.

Dalam pada itu, Mahathir menyifatkan hasrat Pas untuk bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen di Kedah hanya untuk memenangkan UMNO dan BN.

Beliau berkata, kemasukan Pas dalam sesebuah kawasan akan mendorong pertandingan tiga penjuru dan ini akan memberi kelebihan kepada BN.

Mahathir berkata beliau yakin parti itu mendapat sokongan anggota Pas disebabkan berlaku perpecahan di kalangan mereka selain hilang keyakinan kepada kepemimpinan tertinggi Pas. -BERNAMA