Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat didakwa menerima seutas jam tangan jenama Cerutti berharga RM1,280 daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusni Ibrahim yang diketahui perbuatan itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi.

PULAU PINANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan menerima rasuah berupa seutas jam tangan daripada sebuah syarikat kontraktor.

Azman, 50, yang juga Pengurus Besar ZPP membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamid oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

Menurut kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima seutas jam tangan jenama Cerutti berharga RM1,280 daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusni Ibrahim yang diketahui perbuatan itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pusat Latihan Zakat (Pulaza), Daerah Barat Daya di sini Februari lalu, dan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Azman yang diwakili peguam N. Rajivan dan Mohamed Reza Ibrahim diikat dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 22 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ini merupakan tuduhan keempat terhadap Azman selepas beliau pada Rabu lalu, turut mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth juga atas pertuduhan menerima rasuah berupa tiga utas jam tangan.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa menerima jam tangan jenama Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, iaitu pemilik syarikat MNI Venture, Ros Suriyati Alang di kediamannya di Permatang Pauh di sini pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima jam tangan jenama Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik syarikat Al Global Trading, Ashari Ismail, di Pejabat ZPP di Bukit Mertajam di sini antara 2011 hingga 2015.

Selain itu, Azman juga didakwa menerima jam tangan jenama Roscani Paris bernilai RM750 daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusri Ibrahim di kedai makanan berhampiran Pejabat ZPP di Seberang Perai Tengah di sini pada 2015.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan. – MalaysiaGazette