Vladimir Putin

MOSCOW – Presiden Vladimir Putin muncul dalam sebuah rancangan televisyen secara langsung untuk menjawab soalan-soalan daripada remaja Rusia dalam usahanya untuk berhubung dengan golongan muda yang semakin ramai meminati parti pembangkang.

Dengan memakai kemeja berkolar yang tidak dibutangkan, Putin berhadapan dengan tetamu mudanya di pusat pendidikan kanak-kanak berbakat yang berusia di antara 10 hingga 17 tahun bagi rancangan bertajuk “A Grown- up Conversation” yang disiarkan oleh saluran pro-Kremlin, NTV.

Pemimpin berusia 64 tahun itu tidak malu mengaku mempunyai jurang maklumat yang besar untuk memahami budaya anak muda malah memberitahu beliau tidak menggunakan media sosial termasuk Instagram.

“Saya secara peribadi tidak menggunakannya. Jadual kerja saya habis sangat lewat dan saya tidak sempat untuk membuka Instagram,” katanya sambil mengaku ramai kakitangannya yang berhubung secara dalam talian.

Bagaimanapun, Putin membandingkan nama-nama yang digunakan dalam perbualan di Internet dengan nama samarannya semasa dilatih di sekolah perisikan untuk menjadi ejen KGB.

Katanya, beliau menggunakan nama samaran Platov ketika itu.

Putin mengambil bahagian dalam rancangan selama dua jam setengah itu, rancangan pertama seumpamanya berikutan usaha Kremlin untuk mendapatkan sokongan golongan muda susulan daripada perhimpunan yang dianjurkan oleh ketua pembangkang, Alexei Navalny yang dihadiri oleh ramai remaja.

Ketika ditanya apakah beliau sudah memikirkan pengganti beliau, Putin berkata, adalah sesuatu yang biasa apabila presiden yang bakal bersara akan memberi cadangan (siapa bakal pengganti beliau) namun beliau menegaskan, semuanya terpulang kepada keputusan rakyat.- MalaysiaGazette