Azalina Othman Said

KOTA TINGGI – “Hendak jadi wakil rakyat perlu memainkan peranan sebenar, bukan hanya pandai bercakap.”

Itu teguran Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada pembangkang yang bercita-cita untuk menawan 15 kerusi parlimen di Johor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Azalina berkata, beliau sudah arif dengan permainan pembangkang yang hanya pandai berpolitik berbanding memperjuangkan isu-isu tempatan di kawasan mereka.

“Ini dapat dibuktikan apabila tidak ramai daripada mereka (wakil rakyat pembangkang) mengutarakan soalan-soalan Parlimen berkenaan dengan kawasan mereka.

“Mereka lebih banyak membangkitkan isu-isu nasional yang bagi saya, kadang-kadang sudah basi,” kata Anggotai Parlimen Pengerang itu kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di sini hari ini.

“Jadi kepada pembangkang dan juga Rafizi…kalau cakap hendak tawan Johor, semua orang pun boleh bercakap dan berangan.

“Tetapi bagi saya, ukuran sebenar adalah pilihan raya dan ketika pilihan raya, saya pasti rakyat lebih bijak malah juga saya yakin kawasan-kawasan yang ditawan pembangkang dahulu, akan kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Pakatan Harapan untuk memenangi sebanyak 50 kerusi Parlimen pada PRU-14 kelak.

Pada awal bulan ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, sebanyak 15 daripada keseluruhan kerusi itu adalah di Johor antaranya Parlimen Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Sembrong, Tanjung Piai, Labis, Segamat, Sekijang, Pulai dan Sri Gading.

“Rafizi bukan orang Johor jadi dia tidak faham politik orang Johor yang sentiasa menyokong BN dan berkiblatkan UMNO.

“Mungkin dia boleh cuba bertanding di Pengerang (untuk tahu). Menang atau kalah adat bertanding tetapi lawan tetap lawan,” katanya. – MalaysiaGazette