ALOR SETAR – Kerajaan Kedah sekali lagi menggesa agar Akta Barang Lusuh 1946 yang sebelum ini pernah diusulkan di Kabinet dipinda dengan segera bagi mengekang kejadian kecurian kabel yang semakin berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia, Datuk Norsabrina Abdullah berkata, gesaan itu dibuat selepas melihat berlaku peningkatan kes kecurian kabel di seluruh Kedah.

“Pindaan akta ini merupakan langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi mengatasi kecurian kabel yang berlaku di Kedah dan seluruh negara kerana pada masa ini sesiapa saja boleh membeli dan menjual kabel yang dicuri.

“Bayangkan, walaupun kebanyakan kabel kuprum telah ditukar kepada jenis gentian optik, kecurian masih berlaku kerana masih terdapat permintaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Webe Telekom Malaysia Berhad (TM) di sini, semalam.

Beliau berkata, impak daripada kecurian kabel ini menyebabkan penduduk di kawasan luar bandar menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi berikutan capaian telekomunikasi yang agak terhad.

“Rata-rata penduduk luar bandar terutamanya warga emas memilih menggunakan telefon talian tetap kerana kurang arif dengan penggunaan telefon bimbit tetapi kes kecurian kabel telekomunikasi ini telah menyukarkan mereka.

“Dalam kawasan saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim Bandar Baharu pun berlaku kes kecurian ini dan jelas dilihat apabila pihak Telekom Malaysia (TM) sudah memasang kabel empat kali, tetapi masih lagi dicuri,” katanya.

Sementara itu, Norsabrina berkata penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi turut giat dilakukan termasuk menaik taraf talian daripada 2G kepada 4G yang melibatkan 41 menara telekomunikasi di seluruh negeri.

“Proses menaik taraf tersebut dilakukan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Julai ini di lima daerah iaitu Sik, Pendang, Padang Terap, Baling dan Bandar Baharu.

“Kita juga dalam perancangan untuk menambah menara baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan jumlahnya mengikut keperluan kawasan,” katanya. – Bernama