Khairy Jamaluddin perwakilan UMNO yang menghadiri persidangan parti itu Bahagian Kepala Batas.

KEPALA BATAS – Hartawan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho atau Jho Low berdepan tindakan dilucutkan taraf warganegara sekiranya terbukti turut mempunyai kerakyatan negara lain.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selari dengan Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan berkaitan status kewarganegaraan.

Menurut beliau, ia juga bagi menjelaskan kerajaan tidak memberi layanan istimewa kepada mana-mana individu yang mempunyai dua kerakyatan yang mana mereka perlu berdepan dengan apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara berkaitan kerakyatan merupakan bidang tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) namun saya akan melihat keperluan membabitkan Kementerian Luar berhubung dakwaan ke atas Jho Low ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas yang disempurnakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas mengulas laporan portal berita propembangkang yang mendakwa Jho Low turut memiliki kerakyatan St. Kitts dan Nevis seperti didedahkan menerusi saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada 15 Jun lalu.

Laporan portal berita itu turut memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohd. Yazid Ramli yang memaklumkan pihaknya telah menulis kepada Kementerian Luar untuk mendapatkan maklumat yang relevan dari negara kepulauan Caribbean tersebut berkenaan status Jho Low.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang makluman dari Wisma Putra berhubung surat serta maklumat berkaitan isu berkenaan.

St. Kitts dan Nevis mempunyai program kontroversi ‘kewarganegaraan dengan pelaburan’ yang membolehkan warga asing mendapat kerakyatan sebagai pertukaran dengan pelaburan hartanah sekurang-kurangnya AS$400,000 (RM1.68 juta) atau sumbangan sekurang-kurangnya AS$250,000 (RM1.2 juta) kepada dana kepelbagaian industri gula negara itu.

Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan kerajaan boleh memerintahkan supaya seseorang dilucutkan kewarganegaraan Malaysia jika dia juga warganegara negara lain. – MalaysiaGazette