Azharuddin Abdul Rahman
Datuk Azharuddin Abdul Rahman
PUTRAJAYA – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan bermesyuarat dan berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk menaikkan harga perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan.
China Press melaporkan, kenaikan yuran perkhidmatan merangkumi perkhidmatan operasi penerbangan dan kawalan trafik udara.
Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, kenaikan harga perkhidmatan DCA buat sementara waktu ditetapkan bermula tahun depan.
Beliau berkata, DCA perlu menanggung kos penyelenggaraan kelengkapan dan kemudahan yang mencecah RM20 juta sekiranya bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan tidak diselaraskan.
Beliau memberitahu, terdapat 24 lapangan terbang dan menara kawalan udara serta tiga pusat di Malaysia.
Menurutnya lagi, kos penyelenggaraan, pembaikan dan pembersihan kemudahan berkenaan adalah mencecah RM20 juta setahun.
Jelasnya, kos itu tidak termasuk pembelian kelengkapan berteknologi tinggi yang ditanggung kerajaan tetapi dinikmati syarikat penerbangan.
“Kemudahan yang ada perlu disemak setiap enam bulan. DCA juga memerlukan radar, alat baharu dan menara baharu untuk operasi yang baik.
“Semua kemudahan ini diperoleh melalui peruntukan daripada kerajaan,” katanya.
Kata Azharuddin, kos perkhidmatan yang dikenakan kerajaan adalah yang paling murah dalam rantau ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kadar kenaikan yuran perkhidmatan tersebut kerana perkara itu masih dibincangkan.
Jelasnya, kenaikan harga sukar dielakkan terutamanya dalam keadaan permintaan daripada syarikat penerbangan yang meningkat. – MalaysiaGazette