A. Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan bahawa segala projek kerajaan di akan mempunyai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit bagi memastikan integriti terlaksana mendapat pujian.

Malah kerajaan negeri yang diwakili pembangkang harus mencontohi tindakan berani yang diambil pemimpin Barisan Nasional ini, kata Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Timbalan Menteri Luar itu setuju dengan keputusan Najib yang juga konsisten dengan pendirian tegas Gerakan dalam memerangi rasuah.

“Gerakan dikenali sebagai parti yang bersih, bebas rasuah. Kita telah melaksanakan larian anti rasuah di seluruh negara dengan cara tersendiri sebagai menentang rasuah selain menyerahkan senarai calon kami untuk disiasat dan ditapis SPRM.

“Namun, kami sangat terharu dengan tindakan PM dan menyokong keputusannya serta mahu melihat pelaksanaannya dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kohilan menambah, ketelusan dan pentadbiran yang baik adalah kunci pembangunan negara yang menjadi keutamaan rakyat selain kemajuan ekonomi dan pendidikan.

Beliau menyifatkannya sebagai satu langkah terbaik yang akan menguji komitmen kerajaan dalam menentang rasuah dan memastikan kerajaan yang bersih dan mahu pembangkang turut menyokong inisiatif ini dengan melaksanakannya dalam pentadbiran negeri yang dikuasai mereka.

“Kita dapat melihat ketiadaan badan bebas menilai projek menyebabkan kontroversi dan skandal menyelubungi negeri pembangkang.

“Pembangkang perlu melakukan apa yang dicakap dalam memerangi jenayah dan Pulau Pinang dan Selangor sebenarnya gagal dalam perjuangan rasuah.

“Satu persoalan yang masih tidak faham ialah kenapa Pulau Pinang dibawah pentadbiran DAP enggan menandatangani lafaz ikrar jikalau benar anda telus dan berintegriti.

“Konsep CAT yang dilaungkan DAP sudah gagal menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negeri utara itu dalam isu tanah dan projek pembangunan dan begitu juga di Selangor melibatkan isu Darul Ehsan Investment Group dan SPLASH yang mana SPRM dan jabatn Audit mampu memberi penyelesaian,” katanya. – MalaysiaGazette