Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya di Dewan Budiman Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 JULAI 2017.

PETALING JAYA – Keberadaan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pembangkang diibaratkan sebagai ‘habis madu, sepah dibuang.’

Itu sindir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Justeru katanya, ungkapan Melayu mudah lupa memang sesuai untuk digandingkan dengan Mahathir yang sanggup bersengkongkol dengan pembangkang dalam menjatuhkan kerajaan yang pernah dipimpin beliau selama 22 tahun selama ini.

“Orang yang lama mempimpin kita adalah sering ungkapkan Melayu mudah lupa, tetapi ini adalah kad pengenalan beliau.

“Nama beliau adalah Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty. No kad pengenalan biru beliau adalah 2232518. Ini yang diberikan Ketua Pengarah JPN kepada saya.

“Orang itulah yang memperjuangkan aliran Melayu dan mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. UMNO sebagai madu dan kita sebagai sepahnya,” katanya dalam ucapan penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya kali ke 22, di Dewan Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway hari ini.

Oleh itu tambah Ahmad Zahid, UMNO selaku parti bertunjangkan Melayu tidak perlu ditukar malah bekas pemimpin yang tidak elok harus ditukar demi kelangsungan dan survival parti.

“UMNO sudah 70 tahun. Parti terbaik kita capai kemerdekaan, gelang emas sanggup digadaikan untuk mencapai kemerdekaan. Itu semangat UMNO.

“Kita baiki UMNO apabila pemimpin saling berganti ikut proses demokrasi. PM juga saling berganti ikut proses biasa,” katanya lagi.

Bekas perdana menteri itu kini menyertai Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam misi menjatuhkan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.