Aliff Aziz

SHAH ALAM – Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz mengaku salah di atas insiden mencederakan isterinya yang masih dalam pantang petang Khamis lalu.

Aliff, 26, berkata, insiden itu berpunca daripada kesilapannya yang pergi ke pusat karoke bersama pelakon Afifah Nasir.

Justeru, artis kelahiran Singapura memohon maaf kepada isteri, Bella Astillah, keluarga dan masyarakat.

Bella, 23, baru melahirkan bayi lelaki pada 8 Julai lalu.

“Saya mengaku bersalah dan mohon maaf kepada isteri saya, keluarga dan juga kepada keluarga Afifah sendiri.

“Saya akui Bella membuat tindakan yang betul. Saya tak salahkan isteri saya dalam insiden itu.

“Orang lain pun kalau berada di tempatnya pada masa itu mungkin akan melakukan benda yang sama,” kata Aliff.

Dia berkata demikian pada satu sidang khas yang turut dihadiri Bella di Bukit Jelutong di sini hari ini.

Aliff turut memuji sifat isterinya dalam menghadapi situasi getir dalam rumahtangga yang menjadi bualan ramai orang dan netizen.

Ditanya apa perasaannya terhadap Affifah dan mengapa dia keluar dengan pelakon muda itu, Aliff seolah-olah enggan memberi jawapan namun  mengakui dia telah membuat kesilapan.

“Saya nak bersihkan di kanan dan di kiri. Saya mengaku semuanya salah saya,” katanya lagi.

Dia juga tidak mahu campur apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh Afifah.

“Bagi pihak saya, saya mengaku telah silap dan saya minta maaf,” katanya beberapa kali.

Penyanyi, Aliff Aziz bersama isterinya, Bella Astillah bergambar selepas tamatnya sesi sidang media di Roof Garden, Bukit Jelutong, Shah Alam. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2017

Sementara itu, Bella menafikan dia dalam keadaan meroyan kerana insiden berlaku masih 20 hari berpantang.

“Perkataan meroyan itu membuatkan keluarga saya terguris,” kata mengulas kenyatan kakak Afifah yang juga pelakon, Anzalna Nasir.

Jumaat lalu, Aliff ditahan polis kerana didakwa mencederakan isterinya selepas berlaku pergelutan di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin pada petang Khamis.

Bella telah membuat laporan polis di Balai Polis Cheras selepas mendakwa dia dipukul oleh Aliff sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan lutut.

Sebelum kejadian, Bella bersama ibunya telah pergi ke pusat hiburan tersebut selepas mendapat tahu suaminya berada di bilik karaoke bersama seorang wanita lain.

Menurut laporan polis, Bella yang berasa tidak puas hati telah memarahi suaminya serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya sebagai bukti.

Malah, Bella telah menarik balik laporan polis pada hari yang sama. – MalaysiaGazette