KUALA LUMPUR – Pemain badminton remaja negara, Leong Jun Hao menamatkan penantian Malaysia apabila muncul juara perseorangan lelaki dalam Kejohanan Remaja Asia, di Jakarta semalam.
Kali terakhir gelaran menjadi milik negara apabila Soo Teck Zhi merangkulnya pada edisi 2013 kejohanan di bawah 19 tahun itu di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut halaman keputusan rasmi laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) , bwf.tournamentsoftware.com, remaja berusia 18 tahun itu menewaskan pemain China Bai Yupeng dalam pertarungan tiga set.
Dia terpaksa beraksi selama satu jam 14 minit untuk menewaskan 21-6, 20-22, 21-17, di Jaya Raya Sports Hall Traning Center.
Jun Hao yang merupakan pilihan keenam kejohanan mara ke final selepas menundukkan pemain Thailand, Kunvalut Vitidsam 19-21, 21-14, 23-21 dalam perlawanan separuh akhir. – MalaysiaGazette
















