Hamidin Mohd. Amin.

SHAH ALAM  – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin bahawa pengendali skuad Bawah-22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mempunyai masalah dalam mengumpulkan pemain untuk kem latihan persediaan ke Sukan SEA, bermula Ahad ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa, pasukan kelab dan persatuan tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak melepaskan pemain masing-masing kerana Liga Malaysia (Liga-M) telah ditangguhkan sehingga awal September ini.

“Kali ini tiada alasan bagi pasukan untuk tidak melepaskan pemain kerana semua perlawanan liga telah diberhentikan sehingga aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Sept.

“Jadi semua pemain yang dipanggil perlu melaporkan diri kepada Kim Swee selepas aksi terakhir liga pada Sabtu ini. Beliau akan memanggil semua pemain yang difikirkannya terbaik, termasuk enam pemain yang tidak hadir sebelum ini atas faktor ada perlawanan liga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau latihan skuad futsal wanita Sukan SEA di Kompleks Sukan Panasonic di sini, hari ini.

Pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) telah bersetuju untuk menangguhkan jadual Liga-M pada bulan Ogos untuk memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan ke Sukan SEA selepas bersetuju dengan permohonan FAM.

Menggulas mengenai cadangan mengurangkan jumlah pemain import di Liga-M, Hamidin berkata FAM akan melihat penilaian FMLLP mengenai cadangan itu selepas musim ini berakhir sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ia memerlukan kajian yang terperinci kerana ia mungkin boleh melemahkan tahap persaingan liga kita. Walaupun kita kurangkan kuota pemain import untuk pasukan Liga Perdana sahaja, tetapi apabila pasukan ini bermain menentang pasukan Liga Super pada aksi Piala FA atau Piala Malaysia, ia memberikan kesan kepada mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada memberikan cadangan untuk mengurangkan kuota import Liga Perdana dari 3+1 (tiga pemain import dan satu kuota Asian) kepada 2+1 dan mewajibkan lima pemain B-23 beraksi dalam setiap perlawanan.

Dalam pada itu, Hamidin yakin bahawa skuad futsal wanita negara mempunyai peluang cerah untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan SEA nanti selepas membuat persiapan rapi selama tiga bulan

Sementara itu, ketua jurulatih skuad itu, Muizzuddin Haris optimis bahawa sasaran pingat gangsa mampu dicapai oleh anak buahnya berdasarkan peningkatan ketara pasukan, yang kini lebih yakin di bahagian serangan dan mengawal bola.

“Kita akan menjalani kem bina semangat di Port Dickson, Negeri Sembilan dan akan mengadakan dua aksi persahabatan menentang China pada 12 dan 13 Ogos ini sebagai persiapan untuk Sukan SEA,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad futsal wanita ialah meraih pingat gangsa di Naypyidaw pada edisi 2013, selain kedudukan tempat keempat pada Kejohanan Futsal Wanita AFC 2015.

— BERNAMA