Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan hutang negara masih dalam lingkungan terkawal malah kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah hutang negara berjaya dikurangkan kepada 52.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 54 peratus sebelum ini.

“Namun saya nak beritahu bahawa hutang negara dalam lingkungan terkawal malah telah dapat dikurangkan daripada 54 peratus KDNK kepada 52 peratus.

“Manakala fiskal negara defisit kerajaan dapat mengurangkan daripada 6.7 peratus kepada kepada sekitar tiga peratus pada hujung tahun ini, dan kita sedang menjurus kepada belajawan berimbang,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Najib juga membidas Wan Azizah yang membuat dakwaan tidak tepat terhadap status hutang kerajaan dan menyifatkan pembangkang hanya pandai berjanji tetapi tidak menunaikan janji mereka.

“Sudah menjadi kerja pembangkang main isu politik dalam isu ekonomi. Kerajaan akan buat yang terbaik tapi janji tak menjanjikan gula.

“Walaupun itu bukan soalan tambahan tapi ‘syarahan mini’ tapi takpe saya terima itu memang kerja pembangkang kalau tak buat macam itu payahlah dari segi politik,” katanya lagi.

Berbeza dengan pembangkang, Najib juga berkata kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan beberapa pengumuman faedah-faedah oleh kerajaan kepada rakyat adalah buktinya.

“Selain daripada itu kita juga sentiasa melakukan usaha-usaha untuk menentukan bahawa rakyat ramai dapat merasai faedah-faedah daripada kerajaan sebab itu saya umumkan pakej untuk peneroka Felda, veteran ATM.

“Insya Allah dalam bulan-bulan mendatang banyak lagi usaha kerajaan akan kita lakukan kerana kita sebagai sebuah kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat tetapi kita tak boleh menjanjikan benda-benda yang tak masuk akal.

“Yang lazimnya dijanjikan pembangkang sebagai gula-gula untuk menyukakan hati rakyat tetapi kita tahu tak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette