Shaiful Hazizy, foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy yakin dakwaan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengugat perpaduan di kalangan ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Shaiful menyifatkan bekas perdana menteri itu sudah terdesak sehingga membuat tuduhan tidak berasas mengatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjumpa dengannya meminta untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Bagi Pemuda Kedah niat untuk ‘menipu’ ini membuktikan bahawa beliau amat terdesak apabila menyedari serangan beliau sebelum ini tidak sama sekali mendatangkan kesan thdp UMNO dan BN,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir digesa Shaiful supaya berhenti daripada menggunakan strategi tidak bermaruah tersebut dan tidak mengada-adakan cerita yang tidak wujud.

“Pemuda UMNO Kedah mengutuk keras dan mahu strategi politik tidak bermaruah ini dihentikan serta merta.

“Sebagai seorang yang pernah bergelar status negarawan Dr Mahathir perlu berhadapan dgn lawan secara ‘gentlemen’ dan bukannya mengada-adakan cerita yang tidak wujud sama sekali,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO Kedah juga mendesak supaya Dr Mahathir membuktikan tuduhan beliau bagi menunjukkan kebenaran.

“Pemuda UMNO Kedah juga mohon agar tuduhan dan kenyataan Dr Mahathir ini dibuktikan dgn kadar segera. Pemuda UMNO Kedah tidak mahu tuduhan dan kenyataan Tun Mahathir hanya lah bersifat ‘cuba-cubaan’ ataupun ‘ujian makmal’ semata-mata,” katanya.

Shaiful juga menyatakan pendirian Pemuda UMNO Kedah tetap yakin hubungan antara Ahmad Zahid dan Najib tetap utuh walaupun diuji dengan tuduhan tidak berasas dibuat oleh Dr Mahathir.
“Pemuda UMNO Kedah yakin dan percaya hubungan Ahmad Zahid dan Najib kekal utuh dan mereka adalah gandingan yang paling ideal mempertahankan parti.

“Sebarang usaha murahan dan picisan sudah semestinya tidak akan membawa kesan sama sekali,” katanya. – MalaysiaGazette