Keadaan kereta pegawai JPJ yang disimbah cat.

KUALA LUMPUR – Dua buah kenderaan milik ketua bahagian penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang disimbah cat di rumahnya di Seksyen 20 Shah Alam pada 29 Julai lepas merupakan perbuatan khianat.

Pegawai JPJ terbabit Adnan Md Isa berkata perbuatan itu dipercayai berlaku antara pukul 4 dan 5 pagi.

“Saya hanya menyedari kejadian itu apabila jiran sebelah rumah saya menelefon isteri saya dan memberitahu bahawa dia terhidu bau cat yang amat kuat di luar rumah saya, dan apabila disiasat didapati kereta saya dan isteri disimbah cat merah.

“Ini kejadian pertama sepanjang 25 tahun saya berkhidmat di JPJ dan malahan sebelum ini saya bertugas di JPJ Selangor, tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Adnan berkata beliau telah membuat laporan polis pada hari kejadian di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam dan polis juga telah mengambil keterangannya untuk membolehkan siasatan dibuat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Shafien berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan khianat.

— BERNAMA