Sohaimi Shahadan

MARANG – “Berehat la…cukup-cukuplah, sudahlah, zaman untuk berpolitik sudah berakhir,” itulah nasihat untuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan yang memberikan nasihat itu berkata semakin banyak tuduhan dilemparkan Dr Mahathir terhadap kepimpinan negara, semakin banyak kelemahannya sepanjang 22 tahun memimpin negara mungkin akan didedahkan kepada umum.

“Ini hanya akan lebih memburukkan lagi, mendedahkan lagi diri dia… segala kelemahan dan juga perkara-perkara yang sebelum ini (dibuatnya semasa) dia berkuasa (mungkin ada yang) tidak dibuka atau didedahkan kepada umum.

“Jadi saya rasa zaman Tun M ni dah berakhir… berehat lah dengan anak cucu dan tidak perlu lagi berpolitik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Marang di sini malam tadi.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata dakwaan Dr Mahathir terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah fitnah.

“Saya tahu sebab sebelum ini saya pernah berjumpa beliau (Dr Mahathir) dan itulah juga yang diucapkannya iaitu mahu menjatuhkan Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Salak di Pasir Salak hari ini.- BERNAMA