Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Transformasi Sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjalan lancar dengan kejayaan pelaksanaan infrastruktur projek.

Terbaharu, ECER hari ini memuktamadkan pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman (MOU) bernilai RM9.9 bilion dalam sektor utama seperti pembuatan, pelancongan, bio-ekonomi dan hartanah.

Jumlah itu sekaligus menjadikan jumlah pelaburan komited di ECER berjumlah RM109.15 bilion yang menghampiri sasaran RM110 bilion,  menjelang tahun 2020.

“Transformasi di ECER telah memberikan impak positif terhadap kehidupan rakyat, dengan lebih 140,000 pekerjaan dan 26,000 peluang keusahawanan diwujudkan di kawasan bandar dan luar bandar,” demikian menurut kenyataan ECER hari ini.

Pada majlis hari ini menyaksikan pertukaran dokumen antara (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan seramai 14 pelabur asing dan domestik di ECER.

Ia termasuk bumiputera syarikat di bawah program TERAJU@ECER.

MOU berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohd; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Sehingga Jun 2017, lebih 106,210 isi rumah atau 10% daripada penduduk ECER telah mendapat manfaat daripada program pembangunan modal insan ECERDC, dengan 97 peratus daripada peserta berasal dari penghasilan 40 peratus terendah masyarakat (B40) –  mencerminkan pendekatan inklusif ECERDC dalam membangunkan ECER.

Selain itu, kira-kira 18,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana telah dibangunkan daripada program-program tersebut, yang telah menjana lebih 33,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. – MalaysiaGazette.