Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bergambar dengan atlet yang menggayakan jersi rasmi Team Malaysia pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia sukan SEA KL2017 di Hotel Reinaissance, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyasarkan lebih 100 pingat emas untuk negara sepanjang temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) yang bakal berlangsung pada 19 Ogos sehingga 30 Ogos ini.

Semasa menyampaikan amanatnya kepada para atlet malam tadi, Khairy yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi atlet ketika ini.

“Saya mahu lebih 100 pingat emas tetapi angka rasminya biarlah diumumkan dalm tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya mahu menjadikan Sukan SEA kali ini sebagai penganjuran sukan yang terbaik di negara ini selepas 16 tahun kita tidak mengadakan temasya sukan besar-besaran,” katanya sambil mengingatkan para atlet supaya bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal sebelum masuk ke gelanggang.

“Segala persiapan telah dibuat. Latihan terbaik telah diberikan, kemudahan, gelanggang dan sebagainya tetapi akhir sekali, ia terserah kepada anda semua.

“Tanya diri anda. Apakah anda mahu menang?” cabarnya.

Menurut KJ, kontinjen negara boleh menzahirkan semangat patriotisme pada bulan kemerdekaan ini dengan menyumbang kilauan emas.

Beliau optimis mengharapkan agar kejayaan bertaraf dunia atlet akan berulang dan radius kemenangan akan bertambah.

“Saya mahu berterima kasih kepada anda, bukan sebagai menteri tetapi sebagai rakyat Malaysia yang telah meyakinkan saya bagaimana sukan dapat menggembirakan dan menyatukan rakyat Malaysia.

“Anda (atlet) mengingatkan rakyat Malaysia bahawa walaupun mereka merasa tiada apa yang hendak dibanggakan sebagai rakyat Malaysia, mereka sentiasa boleh berbangga dengan atlet Malaysia,” katanya.

Kontinjen negara terdiri daripada 871 atlet yang akan bertanding dalam 397 daripada 404 acara di temasya yang akan membuka tirai secara rasmi pada 19 Ogos dan penutupnya pada 30 Ogos.

Dalam pada itu, pesilat negara yang juga dua kali menyandang gelaran juara dunia, Mohd. Aljuferi Jamari yang diberi penghormatan sebagai pembawa bendera semasa temasya sukan tersebut sudah tidak sabar untuk berjuang demi negara.

Atlet Silat Negara, Mohd. Al-Jufferi Jamari ditemuramah oleh wartawan pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia sukan SEA KL2017 di Hotel Reinaissance, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 OGOS 2017

“Kalau boleh saya mahu Sukan SEA bermula esok. Tetapi tidak mengapa, kena sabarlah dan pakar psikologi saya juga menasihatkan supaya bersabar dan bertenang bagi mengelakkan sebarang kecederaan,” katanya yang terkejut apabila dipilih sebagai pembawa bendera pada Sukan SEA nanti.- MalaysiaGazette