Timbalan Naib Kaunselor UM, Prof. Dr. Noorsaadah Abd. Rahman (dua kanan) bersama Prof. Dr. Stefanie Pillai bergambar kenangan pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-16 di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2017

PETALING JAYA – Mereka yang membesar pada tahun 1980-an sudah pasti tidak dapat melupakan kisah Sang Kancil dan Sang Buaya.

Hari ini cerita masyarakat itu mendapat pengiktirafan apabila ia diterjemahkan dalam 111 bahasa, termasuk dialeg, hasil usaha lebih 100 penterjemah dan pakar bahasa.

Salah seorang editor terjemahan itu, Profesor Dr. Stefanie Pillai berkata, pihaknya mengambil masa setahun untuk melengkapkan terjemahan semua bahasa.

“Memang banyak sangat kisah-kisah yang pernah kita baca dan tonton, tetapi kita memilih kisah Sang Kancil dan Sang Buaya ini kerana ia sinonim dan mencerminkan nilai estetika dan kebudayaan masyarakat Malaysia.

Buku kisah ‘Sang Kancil dan Sang Buaya’ yang dilancarkan telah pun dipamerkan pada Majlis Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-16 di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2017.

“Lebih-lebih lagi, Sang Kancil dalam kisah berkenaan seekor haiwan yang comel dan bijak mengatur rancangan untuk mengharungi halangan buaya untuk mendapatkan buah di seberang sungai.

“Kisah ini memberikan nilai moral yang kita fahami dan tauladani selama ini. Dalam memastikan ia tidak dianggap lucu, kami serius untuk memastikan ia dikongsi untuk tatapan komuniti antarabangsa

“Dari situlah tercetusnya idea untuk kita mahu berkongsi kisah ini dalam 111 bahasa asing tidak termasuk bahasa Melayu iaitu bahasa asal kisah itu,” katanya.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Bahasa dan Lingustik Universiti Malaya (UM) menyatakan demikian kepada MalaysiaGazette selepas majlis pelancaran buku itu pada Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-16 di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Professor Dr. Noorsaadah Abd. Rahman.

Tambahnya, antara objektif pelancaran buku Sang Kancil dan Sang Buaya dalam 111 bahasa itu adalah untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa proses penterjemahan sesuatu cerita bukan mudah seperti yang disangkakan.

Selain itu katanya, ia juga merupakan usaha pihaknya untuk menunjukkan kepada masyarakat hasil penyelidikan, rujukan yang diilhamkan pakar bahasa dan pelajar bahasa untuk membantu bahasa yang berisiko pupus, khususnya bahasa Orang Asli di negara ini.

Jelasnya, sepanjang proses itu, beliau bersama para pakar bahasa dan penterjemah yang terlibat berhadapan dengan kesukaran untuk menyempurnakan cerita dalam bahasa asing.

Ujarnya, nilai dan elemen kebudayaan sesuatu bahasa perlu diteliti dan diperhalusi sebelum kisah atau cerita diterjemahkan.

“Antara bahasa yang kami tidak dapat menterjemahkan ialah salah satu bahasa orang asli yang dipertuturkan di Australia kerana tiada perkataan yang mewakili ‘buaya’ dalam bahasa pertuturan mereka memaksa kami melepaskan hasrat itu.

“Lebih-lebih lagi ada bahasa asing termasuk bahasa orang asli tidak dapat menjumpai huruf sesuai untuk diterjemah sehingga kita terpaksa menggunakan rakaman suara penutur asal dan diterjemah dalam bentuk penulisan.

“Malah ini juga satu kejayaan yang mana kita berjaya memasukkan bahasa dalam bahaya pupus antaranya bahasa Baba Nyonya Melaka dibukukan, sekali gus menghidupkan semula peluang kelangsungan bahasa itu,” ujarnya.

Buat permulaan katanya, sebanyak 500 naskah kisah Sang Kancil dan Sang Buaya telah diterbitkan oleh UM Press dan setiap naskah dijual pada harga RM38 dan boleh dibeli menerusi dalam talian di laman sesawang www.um.edu.my, www.umpress.com.my dan di beberapa kedai buku terpilih bermula 10 Ogos ini.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk tampil dengan versi kedua Sang Kancil dan Sang Buaya dengan sekurang-kurangnya dalam 50 bahasa asing lagi di masa akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.