Abd Jalil Hassan

MELAKA – Polis hari ini mendedahkan kewujudan sindiket penipuan yang menyasarkan pelancong China khususnya, menerusi penawaran kondominium mewah di Klebang yang sebenarnya tidak wujud.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket itu membuat pelancaran projek hartanah tersebut di Klebang pada Mei lalu dan menawarkan unit kondominium pada harga RM300,000 hingga RM1 juta.

“Penipuan berkenaan dikesan apabila ada rakyat tempatan di negeri ini yang berminat dengan projek tersebut tetapi apabila beliau menyemak iklan projek tersebut dengan MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) dan mendapati ia tidak mendapat kelulusan, ” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya polis masih menyiasat cara sindiket itu melakukan penipuan sama ada melalui pengambilan deposit atau cara lain, namun sasaran utama mereka adalah pelancong China yang berminat mendapatkan hartanah di sini.

Sehubungan itu katanya polis Melaka akan bekerjasama dengan Bukit Aman dan pihak berkuasa China bagi mengesan sindiket tersebut dan juga mangsa.

Sementara itu dalam kes berlainan, Abd Jalil berkata polis telah menahan dua anggota ‘Geng Along Mamak’ termasuk dalangnya yang dipercayai terbabit dalam 21 kes ragut di tiga daerah di negeri ini bagi tempoh Februari hingga Julai lalu.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang juga pasangan kekasih berumur 29 dan 24 tahun itu ditahan pada 23 dan 25 Julai lepas.

“Tangkapan pertama melibatkan lelaki dikenali sebagai Along Mamak, seorang penagih dadah dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau. Ketika ditahan suspek dalam keadaan mencurigakan dan berlegar-legar menaiki motosikal di tepi jalan Taman Sungai Udang di sini pada 23 Julai kira-kira 1.15 pagi

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang lelaki berkenaan merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Tanjung Minyak, ” katanya.

Beliau berkata dua hari kemudian polis menahan teman wanita lelaki berkenaan di perkarangan Balai Polis Alor Gajah pada kira-kira 3 petang.

Katanya siasatan lanjut ke atas suspek menemukan 87 barang yang dipercayai hasil ragut antaranya enam beg tangan wanita, kad pengenalan (10), lesen memandu (11), kad bank (23), cukai jalan (5) dan motosikal (2).

Abd Jalil berkata kedua-dua suspek juga positif dadah jenis metamfetamina dan mereka kini direman bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 392, Seksyen 395 dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Katanya polis kini memburu empat lagi anggota geng berkenaan yang berusia antara 24 dan 35 tahun.

Modus operandi kumpulan ini ialah bergerak secara berpasangan dan pasangan wanita akan berpura-pura bertanya arah pada mangsa yang kebanyakannya wanita sambil pasangan lelaki menunggu di atas motosikal dan bertindak meragut mangsa ketika mangsa leka berbual dengan suspek wanita, katanya.

Abd Jalil turut meminta mereka yang menjadi mangsa ragut kumpulan ini agar tampil untuk membantu siasatan.

— BERNAMA