Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor (kiri).

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melantik beberapa tokoh dan pakar dalam pelbagai bidang untuk bersama dalam Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, JKMMS ini akan mempunyai dua jawatankuasa pelaksanaan iaitu Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk.

Katanya, Presiden Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya, Selangor, Tan Sri Dr. Yusof Noor akan mempengerusikan JKMMS berdasarkan pengalaman dan ketokohannya yang luas dalam pelbagai bidang.

“Berikutan arahan Mesyuarat Jemaah Menteri 4 Ogos lalu, Jakim telah mengambil tanggungjawab menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat kebangsaan yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah.

“Jakim yang diberi mandat untuk  mengurusetiakan JKMMS ini akan bertanggungjawab melaksanakan cadangan yang terkandung dalam arahan tersebut bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

JKMMS akan dianggotai tokoh dalam negara yang pakar dalam pelbagai bidang dan sebahagian daripada mereka bakal mengetuai enam kluster di bawah jawatankuasa berkenaan.

Othman berkata, enam cluster itu ialah pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355], Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah.

“Tiga lagi ialah latihan Hakim dan Pegawai Syariah, pendidikan Undang-undang Syariah dan hal ehwal berkaitan Peguam Syarie,” katanya.

Kata beliau, keahlian ahli jawatankuasa itu telah dikenalpasti dan pelantikan rasmi akan dibuat dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast