Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood pada majlis perasmian Festival dan Persidangan Kandungan Kreatif Asia Tenggara 2017 (Kre8tif!) Rabu lepas. --fotoBERNAMA

CYBERJAYA – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC) mahu menjadikan Malaysia sebagai hab kreatif serantau yang dapat membangunkan bakat dan industri untuk memenuhi keperluan serantau dan global.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Datuk Yasmin Mahmood berkata tahun lepas, sektor kreatif dan teknologi negara menunjukkan pengukuhan dan kekuatan dalam nilai pengeluaran serta ekonomi.

“Industri kreatif Malaysia sudah matang kerana ia mempunyai pemain globalnya sendiri. Antaranya ialah LesĀ“ Copaque Sdn Bhd menerusi Upin & Ipin’ yang dikenali di seluruh dunia sehingga ia menjadi duta Unicef Malaysia, ” katanya.

Beliau berkata semua pemain industri kreatif dan animasi di Malaysia patut tahu bahawa kerajaan menerusi MDeC amat menyokong mereka dan mahu memastikan mereka pergi lebih jauh, bukan hanya dari segi kreativiti tetapi juga meneroka bidang perniagaan.

Katanya Les’ Copaque yang 80 peratus pendapatannya diraih daripada pelesenan dan barangan, kini turut mengoperasikan Akademi Animasi LesĀ“ Copaque dengan dua fakultinya, animedia dan perniagaan kreatif, bermula hujung tahun ini.

Yasmin meluahkan keinginan untuk melihat harta intelek baharu Malaysia yang mempunyai kaitan dengan warisan negara seperti Puteri Gunung Ledang agar Malaysia juga mempunyai persona tersendiri seperti ‘Mulan’ dan ‘Pocahontas’.

Sementara itu, Ketua Program Fakulti Kreativiti Multimedia Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Sharizal Pujahaas berkata kebanyakan penuntut antarabangsa, terutamanya dari China, Indonesia dan Asia barat, berminat untuk mempelajari kemahiran multimedia kreatif di universiti itu.

Beliau bersetuju senario itu merupakan pengiktirafan kepada perkembangan dinamik dan pencapaian Malaysia dalam teknologi kreatif, multimedia dan animasi.

“Hampir 80 peratus daripada penuntut fakulti kreativiti multimedia adalah pelajar antarabangsa jurusan sarjana muda seni dalam pembangunan permainan atau reka bentuk permainan.

“Bagi program animasi, alumni Universiti Limkokwing bekerjasama dengan Dreamworks dalam menghasilkan rangka cerita selain TV Nickelodeon, ” katanya.

Selain program pembangunan permainan dan animasi, Pusat Rekacipta Kandungan Universiti Limkokwing juga membangunkan permainan interaktif dan aplikasi berkenaan sains yang memberi fokus terutamanya kepada mereka yang berusia 11 hingga 15 tahun.

Pusat itu turut membangunkan www.panaxity.com yang memaparkan imej resolusi tinggi 846 gigapiksel dan menerima anugerah Rekod Dunia Guiness sebagai imej panorama terbesar di dunia.

— BERNAMA