Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika beraksi pada kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2017 diantara pasukannya, Jogo Polo Team dan Ranhill Putrajaya di Padang Polo Royal Selangor, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Perlawanan pembukaan acara ekuestrian polo Sukan SEA ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Brunei pada 22 Ogos di Taman Ekuestrian Putrajaya, menyaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bakal berdepan dengan kerabat diraja Brunei.

Berdasarkan senarai pasukan yang mengambil bahagian, antara tujuh pemain yang disenaraikan dalam pasukan polo Brunei, empat pemain merupakan kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Bolkiah, 26; Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah, 33; Pengiran Muda Bahar Bolkiah, 36; dan Pengiran Muda Abdul Qawi, 43.

Putera Abdul Mateen merupakan barisan keenam pemegang takhta kesultanan Brunei, dikenali ramai sebagai seorang yang aktif bersukan manakala kekandanya, Azemah Ni’matul antara dua pemain polo wanita bagi acara ekuestrian polo KL2017.

Bagi pasukan Malaysia, Khairy, yang juga menteri pertama di rantau ini yang mengambil bahagian dalam sukan dwitahunan itu, akan bermain bersama enam pemain utama polo Malaysia.

Mereka ialah Shaik Reismann Mohamed Ismail, Muhammad Faizal Abu Bakar, Abdul Rashid Hasnan, Amran Selamat, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman dan Mohd Zulhelmi Nadzar.

Pengurus pasukan Malaysia, Mohamad Zekri Ibrahim melahirkan rasa bangga kerana Khairy menyertai pasukan itu, tambahan pula menteri berkenaan adalah seorang pemain polo yang berpengalaman dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam permainan itu.- BERNAMA