Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi (tiga kiri) dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman (tengah) pada Majlis Ucap Utama sempena Sambutan Peringkat Nasional Ulang Tahun ke 50 ASEAN di Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan negara ASEAN bersatu seperti sebuah keluarga besar, bagaimanapun mereka tidak masuk campur dalam hal dalaman negara jiran.

Najib berkata, semangat persahabatan dan menghormati satu sama lain itu banyak membawa kestabilan dan nikmat kepada rantau tersebut yang akhirnya menjadi model contoh kepada rantau-rantau lain.

“Pada masa sama kita mengekalkan semangat persahabatan, membuat keputusan secara konsensus dan mengiiktiraf kedaulatan setiap negara. Kita bersatu sebagai ASEAN tapi kita tidak masuk campur hal dalaman negara jiran.

“Itu cara ASEAN, ia berjaya membawa kestabilan dan nikmat kepada rantau kita. Ramai pihak mula mengatakan ia model yang paling sesuai kepada kita dan juga untuk negara membangun lain berbanding kesatuan rantau lain yang kini mula berdepan perpecahan,” kata Najib semasa Sambutan Ke-50 Tahun ASEAN di KLCC hari ini.

Najib juga menggesa supaya negara ASEAN menitikberat aspirasi rakyat sebagai keutamaan bagi menjamin kelestarian sesebuah negara.

“Kita mesti meletakkan aspirasi rakyat – untuk urustadbir yang baik, ketelusan, meningkatkan taraf hidup kehidupan, pembangunan yang lestari, meningkatkan taraf wanita dan mewujudkan peluang seimbang kepada semua – sebagai keutamaan pembangunan masyarakat,” kata beliau.

Selain itu, Najib juga menyeru ASEAN sentiasa relevan dan memberikan kemakmuran yang kukuh kepada rakyat.

“Kita juga perlu berusaha menjadikan ASEAN relevan dan jaminan yang kukuh kepada rakyat.

“Kita mesti mewujudkan kesedaran mengenai sejarah dan pencapaian pertubuhan kita, dan menjelaskan apa yang kita mahu lakukan pada masa depan supaya suatu hari nanti kita tidak memikirkan diri hanya warga Malaysia sahaja tapi juga sebagai warga ASEAN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata, ASEAN kini merupakan salah satu pertubuhan yang disegani di mata dunia kerana menjadi arkitek dalam menjamin kestabikan rantau tersebut.

“ASEAN kini diiktiraf sebagai kuasa utama dalam politik rentas benua, keselamatan dan arkitek ekonomi dunia,” ujarnya lagi.

Menurut Najib, ASEAN sentiasa dekat di hati beliau memandangkan bapanya, Tun Abdul Razak merupakan salah seorang pengasas pertubuhan itu yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967 sehingga menyaksikan ia kekal sehingga hari ini. – MalaysiaGazette