GAZA CITY – Mesir membuka semula sempadannya dengan Genting Gaza untuk pertama kali dalam temboh beberapa bulan bagi membolehkan umat Islam Palestin ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji, kata pihak berkuasa.

“Laluan sehala untuk 2,500 jemaah dibuka semula pada pagi ini (Isnin) untuk tempoh empat hari,” kata pengarah maklumat pihak berkuasa laluan tersebut yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri kendalian Hamas, Hisham Adwan.

“Kira-kira 800 jemaah akan meninggalkan genting itu hari ini (Isnin),” tambah beliau sambil menambah kesemua mereka telah menerima visa Arab saudi untuk mengerjakan haji, lapor AFP.

Laluan Rafah dengan Mesir ditutup sejak beberapa tahun lalun, bagaimanapun ia dibuka sekali sekala.

Israel mengekalkan sekatan terhadap Gaza sejak sedekad lalu dan menghalang pergerakan Islam Hamas yang mentadbir genting tersebut daripada mendapat senjata atau bahan lain.

Selain Israel, Mesir merupakan negara yang bersempadan dengan Genting Gaza.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini Hamas mendekati kerajaan Mesir dan para pegawai berharap sebahagian laluan Rafah dibuka semula bermula bulan hadapan.

Seorang jemaah haji yang menunggu untuk menyeberangi sempadan memberitahu AFP bahawa dia telah cuba pergi ke Mekah sejak 2014. – MalaysiaGazette