Antara kawasan perumahan di P. Pinang yang dinaiki air akibat banjir kilat.
BALIK PULAU – Lebih 100 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang, di sini dilanda banjir kilat hari ini berikutan hujan lebat yang berterusan lebih empat jam awal pagi tadi.

Kawasan yang terjejas ialah Teluk Bahang, Kuala Sungai Pinang, Bukit Kecil, Sungai Pinang, Kampung Nelayan dan Teluk Awak apabila rumah di kawasan itu dinaiki air sehingga 0.5 meter. Banjir surut kira-kira pukul 8 pagi selepas hujan berhenti.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata beliau dimaklumkan oleh penduduk rumah mereka mula dinaiki air sejak pukul 5 pagi selepas hujan lebat bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan.

“Saya turun melihat mangsa yang terlibat…ada dua buah rumah di kawasan Kuala Sungai Pinang rosak di bahagian bumbung kerana ribut dan pokok tumbang. Kami akan membantu mereka segera untuk membaiki bumbung yang rosak itu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Seorang penduduk, Mohd Azhar Ismail, 42, berkata rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 5 pagi dan bimbang air semakin naik, beliau bersama isteri mula memindahkan barang-barang elektrik ke tempat lebih tinggi.

Mohd Azhar yang tinggal di Kampung Nelayan berkata air terus naik dalam masa setengah jam dan surut selepas hujan berhenti kira-kira pukul 7 pagi.

Hujan lebat itu turut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami kesesakan teruk antaranya Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Bayan Baru dan George Town.

Sementara itu, di Pulau Mertajam, Penaga dekat sini sebanyak 32 rumah dinaiki air bermula pukul 4 pagi selepas hujan lebat sejak 12 tengah malam tadi. Tiada mangsa dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pulau Mertajam Shamsul Shamsudin berkata banjir kilat kali ini disifatkan paling teruk kerana sebelum ini hanya melibatkan sekitar tujuh rumah sahaja di kawasan berkenaan.

“Kalau hujan lebat lebih tiga jam di sini selalunya hanya beberapa rumah sahaja dinaiki air tapi kali ini lebih 30 rumah kena (dinaiki air). Kami harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat sesuatu bagi menangani masalah ini,” katanya.

ADUN Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad yang melawat mangsa banjir bersama pegawai JPS berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu kerana ia menjejaskan penduduk.

— BERNAMA