Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah) menyerahkan sumbangan kepada wakil jemaah haji ATM sambil diiringi Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua kiri) dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) pada Majlis Ramah Mesra dan Meraikan Bakal Jemaah Haji di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak sewajarnya membuat tuduhan melulu berhubung kekecohan Nothing To Hide 2.0 dengan menyalahkan UMNO sebagai dalang, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan pembangkang yang cepat menunding jari sememangnya sudah dijangka tapi beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat bagi mendapatkan kebenaran.

“Itu memang dah dijangka daripada awal, tapi pada saya biar pihak berkuasa yang siasat.

“Tiada siapa yang boleh menafikan sikap dan perbuatan pembangkang itu apabila sering sahaja membuat tuduhan yang tidak berasas,” katanya pada sidang media selepas program Majlis Ramah Mesra Meraikan Bakal Haji di Kuala Lumpur petang ini.

Hishammuddin mengulas insiden Nothing to Hide 2.0 anjuran Armada Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertukar kecoh pada Ahad lalu.

Dalam insiden tersebut, Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985 dibaling dengan objek daripada hadirin semasa dialog tersebut.

Kasut dan selipar dibaling ke arah Mahathir.

Forum yang bermula pada jam 4.15 petang itu, awalnya berlangsung dengan aman hampir sejam sebelum bertukar ganas.

Suar turut dilempar dalam masa yang sama dan jatuh hampir dengan pentas utama forum berkenaan, sebelum keadaan menjadi huru-hara apabila beberapa objek dilemparkan sehingga hampir terkena Tun Mahathir, selain petugas media yang berada berhampiran.

Keadaan itu menimbulkan panik sehingga hadirin berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri.

Sesi berkenaan dihentikan serta-merta manakala Tun Mahathir serta beberapa pemimpin pembangkang diiringi keluar meninggalkan dewan. – MalaysiaGazette

Comments are closed.