Home Ekonomi IKS perlu tingkat kualiti untuk masuk pasar raya besar

IKS perlu tingkat kualiti untuk masuk pasar raya besar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (tengah) beramah mesra bersama penerima sijil usahawan PKS pada Program Citarasa Malaysia (PCM) di Aeon Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2017.

SHAH ALAM – Sebanyak 15 peratus daripada 1,282 orang usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berjaya memasuki pasaran empat pasar raya besar di negara ini.

Empat pasar raya itu ialah AEON, AEON Big, Giant dan Tesco.

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, daripada jumlah itu, seramai 918 adalah pembekal bumiputera.

Manakala daripada 24,609 jenis barangan yang dijual, 12,520 dikeluarkan oleh bumiputera.

“Saya percaya jumlah itu dapat ditingkatkan jika IKS mampu memenuhi syarat yang ditetapkan dari aspek kualiti, label dan pembungkusan serta keupayaan untuk kekal menghasilkan produk.

“IKS yang berjaya berada di empat pasar raya besar ini adalah produk yang mutunya seiring dengan kualiti antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Citarasa Malaysia di sini hari ini.

Tambah Hamzah, KPDNKK akan membantu mengembangkan 20 produk IKS ke Jepun melalui AEON pada bulan Oktober ini.

Pada masa sama, kementerian itu sedang berbincang dengan sebuah pasar raya besar Timur Tengah bagi tujuan yang sama.

Sementara itu, KPDNKK berkata, sehingga kini ia telah berjaya membantu 576 usahawan IKS tempatan melibatkan sejumlah 9,711 produk dalam Program Citaraasa Malaysia.

Sehingga Julai 2017, KPDNKK membantu sejumlah 138 usahawan-usahawan IKS menyertai program sampel makanan di 17 buah cawangan pasar raya besar asing di seluruh negara.

Bagi tempoh lima tahun dari 2011 sehingga Julai 2017, KPDNKK telah membangunkan sejumlah 208 produk pelbagai jenama dengan pelabelan dan pembungkusan lebih menarik melalui kerjasama daripada SIRIM, MARDI dan Pusat Pembangunan Rekabentuk Malaysia (DDEC).

Pada majlis itu, Hamzah turut menyampaikan anugerah kepada 10 jenama IKS tempatan dengan nilai jualan paling tinggi di seluruh cawangan AEON Malaysia dan menyerahkan pengiktirafan kepada 10 pembekal baru IKS. – MalaysiaGazette