Penantian selama 16 tahun berakhir selepas pasukan bola jaring negara berjaya menamatkan kemarau meraih pingat emas dalam temasya Sukan SEA (KL2017) edisi ke-29 di gelanggang sendiri petang tadi.

KUALA LUMPUR – Penantian selama 16 tahun berakhir selepas pasukan bola jaring negara berjaya menamatkan kemarau meraih pingat emas  dalam temasya Sukan SEA (KL2017) edisi ke-29 di gelanggang sendiri petang tadi.

Skuad kendalian jurulatih Tracy Robinson dari Australia mencatat kemenangan besar menumpaskan musuh tradisi, Singapura dengan jaringan 65-41.

Kemenangan itu mengubati kekecewaan dua tahun lalu ketika final di Singapura apabila skuad Malaysia sekadar meraih pingat perak.

Dalam perlawanan final itu, pasukan negara tampil mempersembahkan corak permainan pantas sejak pusingan awal untuk menekan pasukan jiran.

Sandaran diletakkan kepada An Najwa Azizan selaku penjaring utama terus yang menunjukkan aksi mantap bergandingan dengan penyerang Izyan Syazana Mohd Wazir.

Bahagian tengah pula cemerlang dikemudikan oleh Nur Fariha Abd Razak serta Pow Mei Foong yang lincah membuat hantaran terus.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas pada temasya di Kuala Lumpur pada 2001.

Acara bola jaring tidak dipertandingkan pada temasya 2003 hingga 2013.

Dalam pada itu, turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast