KOTA KINABALU – Empat pegawai polis di Lahad Datu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin bagi membantu siasatan kes bersetuju menerima atau memperoleh wang rasuah sebanyak RM20,000.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Sabli berkata, seorang daripada yang ditahan ialah pegawai polis berpangkat Inspektor, 34 tahun, ekoran aduan yang diterima daripada seorang peminjam wang tidak berlesen (Ah Long).

Menurut Sazali, wang berkenaan disyaki bertujuan supaya pengadu tidak dikenakan tindakan undang-undang dan sebagai bayaran perlindungan bulanan ke atas pengadu.

Inspektor polis itu direman selama tujuh hari bermula semalam (22 Ogos) untuk membantu siasatan.

Sazali berkata, tiga lagi pegawai polis ditahan semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM18,000 daripada jumlah RM20,000, daripada pengadu berkenaan.

Seorang merupakan pegawai berpangkat Sarjan berusia 29 tahun manakala dua lagi masing-masing Koperal dan Lans Koperal 29 dan 34 tahun.

SPRM akan memohon perintah tahanan reman di mahkamah di Lahad Datu ke atas ketiga-tiga pegawai polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu. – Bernama