Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi menyifatkan adalah ‘wajib’ untuk mereka mendapatkan semula kerusi yang ditandingi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Gombak.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Sallehen berkata sejarah membuktikan semua kerusi yang dimenangi PKR di Selangor pada asalnya adalah milik Pas, malah semasa pilihan raya umum ke-13 lalu laluan juga diberikan kepada PKR untuk mereka mengambil jawatan Menteri Besar.

“Parlimen Gombak itu wajib kita ambil.

“Sejarah sebelum ini, sebelum PKR ada, Pas yang minat kerusi Selangor. Tetapi PKR datang.

“Setelah ada PKR bahkan ada MB Selangor PKR. Presiden Pas juga suruh PKR jadi MB Selangor walaupun Pas memang 15 kerusi,” katanya semasa sidang media hari ini.

Terdahulu, Sallehen mengumumkan Pas Selangor bersedia bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Terdapat tiga kerusi DUN dalam sempadan kawasan Parlimen Gombak – Gombak Setia, Ulu Kelang dan Batu Caves.

Daripada ketiga-tiga kerusi itu, calon Pas menang di Gombak Setia dan Ulu Kelang, manakala kerusi Batu Caves dimenangi oleh calon PKR.

Pengumuman Sallehen ini dilihat memberi tamparan kepada Mohamed Azmin yang dilihat cuba berunding antara PKR dengan Pas. – MalaysiaGazette