William Leong
PETALING JAYA – Tidak berpuas hati dengan PKR yang mencari-cari peluang kerjasama dengan Pas, Ali Parlimen Selayang, William Leong bertindak meletak jawatan dalam Biro Politik PKR dan melepaskan peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Wiliam memberitahu Sinchew Daily, beliau telah menghantar surat letak jawatan pada Isnin dan surat itu juga menyatakan secara jelas rasa tidak puas hati mengenai hubungan PKR-Pas yang samar-samar.
Katanya, walaupun Pas secara terang-terangan berpihak kepada UMNO, tetapi PKR masih mencari-cari peluang kerjasama dengan Pas.
Keadaan itu, menurut William, telah mewujudkan rasa tidak puas hati di peringkat akar-umbi PKR.
Jelasnya lagi, walaupun keretakan hubungan dengan Pas akan mengundang risiko perang tiga penjuru semasa pilihan raya, tetapi prinsip parti tidak harus dikorbankan.
“Daripada mempunyai hubungan yang samar-samar dengan Pas, lebih baik memberi perhatian untuk persiapan pilihan raya,” katanya.
Walaupun Biro Politik PKR telah berbincang mengenai hubungan dengan Pas selama ini tetapi William gagal mengubah keputusan parti.
“Disebabkan saya tidak dapat menerima keputusan parti, maka saya juga menyatakan dalam surat bahawa saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Selayang itu.
Menurutnya, tindakan meletakkan jawatan dalam Biro Politik bukan bertujuan menggugat, tetapi hanya mahu menyatakan pendirian.
William mengekalkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.- MalaysiaGazette