Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan menubuhkan koperasi bagi menyokong pelaksanaan dan mengembangkan rangkaian kedai harga patut.

Beliau berkata, penglibatan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan menerusi kedai harga patut mampu menawarkan harga keperluan harian dengan lebih rendah, sekali gus memperkasakan ekonomi koperasi komuniti dan kejiranan setempat.

“Ini adalah strategi yang dapat memacu keupayaan untuk menjana pendapatan komuniti dan meningkatkan ekonomi serta aktiviti kejiranan dan kemasyarakatan,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Selain dapat mewujudkan rantaian pembekalan melibatkan pengeluaran, pengedaran dan penjualan produk pada harga kompetitif, Tengku Adnan berkata koperasi dapat membantu kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat.

Sehingga Jun 2017, sebanyak 984 koperasi berdaftar di Wilayah Persekutuan dengan keanggotaan melebihi 2.14 juta anggota manakala statistik pada 31 Dis 2016 menunjukkan jumlah aset koperasi berkenaan bernilai RM17.98 bilion dan penjanaan perolehan RM5.1 bilion.

Dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selama tiga hari bermula semalam dengan tema ‘Transformasi Koperasi ke Arah Kesejahteraan’, sambutan Hari Koperasi Negara Peringkat Wilayah Persekutuan menerima penyertaan 44 gerai pameran terdiri daripada koperasi, agensi serta jabatan kerajaan dan usahawan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam ucapannya berkata, koperasi perlu memperluas jaringan perniagaan agar dapat menambah nilai produk serta perkhidmatan sedia ada.

Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali.

Menurut Hamzah, aktiviti komersial sektor koperasi tidak seharusnya terhad di peringkat domestik sebaliknya perlu diperluaskan di peringkat global khususnya ke negara-negara ASEAN, selaras dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015.

“Adalah diharapkan gerakan koperasi di Wilayah Persekutuan dapat terus berperanan dalam program transformasi kerajaan, khususnya dalam enam bidang keberhasilan utama ekonomi bagi melonjakkan lagi sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Sehingga 31 Dis lepas, sebanyak 13,428 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan 7.01 juta, modal syer dan yuran sebanyak RM14 bilion, aset bernilai RM130.7 bilion serta perolehan sebanyak RM39.67 juta.

Pada majlis itu, Pengerusi Koperasi Tenaga Nasional Berhad Raja Hang Tuah Raja Iskandar dinobatkan sebagai Tokoh Koperasi Peringkat Negeri manakala Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Koperasi untuk pencapaian cemerlang dalam pelbagai sektor. – BERNAMA