KUALA LUMPUR – Pasukan skuasy wanita negara berpeluang cerah untuk pertahankan pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), namun pasukan lelaki menamatkan saingan selepas buat pertama kali gagal menempa tempat ke final.

Skuad wanita negara dijadualkan bertemu Singapura pada final selepas menang mudah ke atas Indonesia 2-0 manakala pasukan lelaki terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada Filipina 0-2.

Pengurus pasukan, Nik Razeen A Daud berkata, kekalahan skuad lelaki itu merupakan sesuatu yang mengejutkan namun mengakui pasukan negara berdepan perlawanan sengit dengan Filipina yang menampilkan permainan agresif berbanding pasukan negara yang bermula agak perlahan.

“Kita akan jumpa jurulatih serta pemain selepas ini untuk cari apa punca masalah kepada kekalahan kita,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Nik Razeen yang juga timbalan presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berkata, pasukan wanita bagaimanapun yakin dapat mempertahankan pingat emas acara berpasukan yang dijadualkan pada esok malam.

Untuk rekod, skuad skuasy negara sudah meraih tiga pingat emas melalui acara beregu wanita, beregu lelaki dan beregu campuran dan dijangka mampu menambah dua lagi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, malam ini. – MalaysiaGazette