KUALA LUMPUR – Penyanyi Nassier Wahab dan, Fauziah Latiff (Gee) telah berlepas ke Mekah kelmarin untuk menunaikan ibadat haji.

Menerusi akaun Instagram milik Nassier, penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Cinta Luka memuat naik fotonya bersama Fauziah di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dalam statusnya, Nassier yang berusia 55 tahun memohon doa peminat agar perjalanan mereka dipermudahkan selain mendapat haji mabrur.

“Alhamdulillah. Bersama Gee, kami akan berlepas ke Tanah Suci, doakan semoga perjalanan kami dirahmati Allah,” katanya menerusi foto berkenaan.

Pada masa sama, bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim turut memuat naik foto beliau sebelum bertolak ke Makkah.

Dia juga membuat permohonan maaf kepada umum sekiranya ada kesilapan dilakukan.

“Abang saya dan saya akan berlepas ke Tanah Suci Makkah al-Mukarramah bagi menjalani rukun Islam kelima. Saya ingin memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan kami, sama ada sengaja atau tidak, jauh dan dekat, kenal rapat mahupun tidak, alam realiti dan juga maya.

“Doakan kami diberikan kekuatan, kesabaran, kesihatan optimum dan haji yang mabrur. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan untuk saya sebelum ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa budi baik kalian.

“Ya Allah, sesungguhnya kami mohon kepada-Mu kebaikan dan ketaqwaan di dalam perjalanan bakal-bakal haji kami ini dan semoga ia menjadi amalan yang Dikau redai,” ujarnya.

Sementara, dua penyanyi, Datuk Hattan dan Datuk Nash juga dijangka berangkat ke Makkah menerusi penerbangan terakhir ke Jeddah pada 28 Ogos ini.- MalaysiaGazette