Mohd Irwan Serigar Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah tidak dapat mengesahkan sama ada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berupaya menyelesaikan baki pembayaran kepada Petroleum Investment Company (IPIC) yang tamat tempoh esok.

“Tunggu dan lihat,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

1MDB telah melunaskan bayaran arbitrasi berjumlah AS$350 juta kepada IPIC sebagai sebahagian daripada pembayaran penyelesaian yang berakhir pada 31 Julai 2017.

Sebelum ini IPIC membenarkan 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) melanjutkan pembayaran arbitrasi.

Syaratnya kedua-duanya perlu membayar sekurang-kurangnya AS$310 juta pada atau sebelum akhir Julai lalu.

Syarikat pelaburan Abu Dhabi itu menegaskan, 1MDB dan MoF Inc. perlu menanggung kadar faedah akibat pembayaran lewat.

Di bawah perjanjian yang diputuskan pada bulan April lalu, IPIC bersetuju untuk membayar sejumlah AS$1.2 bilion dengan dua kali bayaran kepada IPIC.

Bayaran pertama berjumlah kira-kira AS$600 juta yang perlu dijelaskan pada 31 Julai. Bagaimanapun, 1MDB gagal melaksanakan komitmen itu.

Bayaran kedua berjumlah AS$602 juta perlu dijelaskan pada akhir tahun ini. – MalaysiaGazette