Dr. Edwin Bosi.

KOTA KINABALU – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan Dr Edwin Bosi hari ini mengumumkan keluar parti DAP sekali gus meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Sabah.

Dalam kenyataan di sini, Dr Bosi berkata tindakan itu diambil susulan ketiadaan persefahaman serta berbeza pendapat dengan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong.

Surat peletakan jawatannya dihantar kepada setiausaha DAP Sabah pada 24 Ogos lalu.

“Selepas berbincang dengan pemimpin DAP Penampang, saya memutuskan untuk melepaskan keanggotaan saya dalam DAP dan meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi parti, berkuat kuasa 31 Ogos.

“Jurang perbezaan pendapat antara saya selaku timbalan pengerusi dan Stephen Wong terlalu besar.

“Disebabkan mustahil untuk kami kembali berbaik, saya mengambil langkah berundur agar keharmonian dalam DAP Sabah berkekalan. Kegagalan ‘Shanghai handshake’ merupakan pencetus kepada keputusan saya untuk keluar parti,” katanya.- BERNAMA