Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam. foto SAFWAN MANSOR, 25 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Surat rasmi akan dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia kepada kerajaan Singapura bagi membantah tuduhan tidak berasas yang tular dalam media sosial berhubung kes seorang warganya diminta wang pendahuluan.

Warga Singapura, Justinian Tan didakwa diberikan rawatan lambat.

Langkah itu diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramanian yang menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan memberikan impak negatif kepada seluruh warga perkhidmatan kesihatan dan kakitangan perubatan awam Malaysia.

“Dakwaan kononnya ambulans hospital lambat tiba tidak benar kerana pemeriksaan rekod log berkomputer dibuat dari tempat panggilan kecemasan, tiba di lokasi dan kembali semula ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Tuduhan kononnya kakitangan enggan memberi rawatan jika bayaran tidak dibuat juga tidak berasas kerana rawatan kecemasan segera sudah diberi kepada mangsa sebelum ketibaan waris dan keluarga dari Singapura,” beliau dipetik berkata hari ini.

Subramaniam juga berkata tuduhan itu amat berat dan seolah-olah cuba merendahkan moral kakitangan kesihatan awam negara.

“Semua tuduhan ini amat berat sedangkan Kementerian Kesihatan mempunyai prinsip nyawa manusia adalah keutamaan berbanding perkara lain.

“Perkara sudah terlanjur. Ia bukan saja membawa impak negatif kepada kami tetapi juga merendahkan moral dan motivasi kakitangan kesihatan awam yang bekerja keras dan berdedikasi bagi menyelamatkan nyawa.

“Surat berkenaan akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia secepat mungkin. Kita akan menunggu maklum balas Singapura dan pada masa sama berbincang dengan peguam kementerian bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial kisah mangsa langgar lari yang menimpa Justinian Tan.

Sebuah portal akhbar atas talian The Independent SG (theindependent.sg) menulis kisah pengalaman rakan mangsa semasa berdepan insiden tersebut.

Difahamkan, mangsa bersama lima rakannya datang ke Johor Bahru untuk makan.

Apabila berada di Jalan Dato Abdullah Tahir di Taman Abad, kira-kira 3 pagi, difahamkan Proton Saga merempuh mangsa dan seorang rakan mangsa.

Rakan mangsa, Brandon Yeo, 24, hanya mengalami kecederaan ringan.

Rakan mangsa, Ernest Lee dipetik sebagai berkata, pihak berkaitan melengah-lengahkan bantuan kecemasan terhadap mangsa.

Malah, mereka mendakwa ambulans hanya tiba di tempat kejadian setengah jam selepas kejadian. – MalaysiaGazette