Puteri Mako dan tunangnya, Kei Komuro. foto CNN

TOKYO – Puteri Mako mengumumkan pertunangannya dengan seorang lelaki biasa, Kei Komuro pada hari ini.

Pertunangan itu akan menyebabkan gelaran puteri raja dilucutkan apabila beliau berkahwin kelak.

Mako merupakan cucu sulung Maharaja Akihito.

Pada sidang akhbar bagi mengumumkan pertunangannya, Mako memaklumkan bahawa beliau sangat gembira.

“Saya sedar sejak zaman kanak-kanak yang saya akan meninggalkan status diraja sebaik sahaja saya berkahwin.

“Semasa saya membantu maharaja dan memenuhi tugas sebagai ahli keluarga diraja, saya telah memenuhi tanggungjawab sebaik mungkin, saya amat menghargai kehidupan saya sendiri.” katanya.

Tunangnya, Komuro, 25, bekerja di sebuah firma undang-undang dan pernah memenangi pertandingan promosi pelancongan untuk dimahkotai sebagai “Prince of the Sea”, berkata, beliau telah melamar Mako lebih daripada tiga tahun lalu.

Komuro mengakui Mako umpama bulan yang mengawasinya secara diam-diam.

Istana Jepun memaklumkan perkahwinan Mako akan berlangsung pada musim panas tahun depan.

Mako, 25, adalah anak sulung perempuan kepada Putera Akishino – putera kedua Maharaja Akihito.

Di bawah undang-undang Jepun, status diraja bagi puteri raja terlucut jika berkahwin dengan orang biasa. Namun ia tidak terpakai kepada putera raja.

Mahajara Akihito dan dua puteranya berkahwin dengan orang biasa dan pasangan mereka menjadi sebahagian daripada monarki. – MalaysiaGazette